Saturday, February 23, 2008

Andai Tangisan Itu Ubat

Di saat insan mencari cari
Ubat penyelamat generasi
Pasti dan sudah pasti
Wujud di mata hati
Pihak mencaci
Sakit Hati
Dengki

Kerana sekeping hati
Bukan sukar disinggahi
Kuman yang menjangkiti
Bakteria dan virus yang serius
Hingga
Tiada ubat untuk merawat
Tiada penawar untuk kembali segar
Bila seluruh sistem telah rosak dan punah
Tatkala hati begitu bengkak dan bernanah

Patutkah umat ini menangis tersedu sedu
Menghitung segalanya yang telah berlalu
Ah, malangnya apa yang berlaku
Merintih besarnya malapetaka itu
Tidak tertanggung
Tidak terjunjung

Manusia sujud pada muslihat syaitan
Lantas terperdaya dalam ulitan
Insan terpesona dengan tipuan iblis
Lantas tertipu dengan janji secebis
Hilang arah tuju
Mencipta lesu
Mencerai rindu
Pada ingatan hari penentu
Tempat berjumpa Tuhan Yang Satu

Hari itu
Bukan tangisan yang dimahu
Namun
Andai pada tangisan itu
Ada ubat
Ada sesuatu yang akan kita teringat
Biarkan airmata itu mengalir
membajai satu pengertian
Buat peringatan
Buat pedoman

Andai tidak kau pilih jalan yang mulia
Engkau wahai manusia
Tidak ubah seperti patung yang tidak bernyawa
Hanya milik tuan pengukirnya
Bukan lagi seorang hamba
Yang menjejaki taqwa
Untuk mendapat rahmat
Buat mendapat berkat
Kerana ianya sebenar nikmat
Buat sekalian umat.

Monday, February 18, 2008

Korban

Didetik penuh pengertian ini
Kau perlihatkan kuasaMu Rabbi

Dikala manusia semakin hilang pertimbangan
Dikala manusia semakin luntur pedoman
Tersesat hanyut dari kebenaran
Layu dan mabuk di dalam kealpaan
Membiarkan mereka mencipta kemungkaran

Namun hakikatnya
Kita masih hilang pertimbangan
Kita masih luntur pedoman
Membiarkan mereka
Dengan dosa
Dengan noda

Lalu kita sebenarnya
Mengundang bala dan bencana
Serta korban yang lebih ganas dan buas

Kerana
Apa yang dikorbankan mereka
Seakan hama di pandangan kita
Walaupun sedahsyat mana ia
Tidak pernah menyedarkan kita
Akan bencana yang bakal menimpa

Maka yang terkorban dan mengorbankan
Adalah angkara diam pada kerosakan
Membiar dan terbiar
Maksiat mekar

Sunday, February 17, 2008

Sekudus Doa Buat Teman

Teman
Andai hidup ini penuh liku
Ranjau dan duri
Ketahuilah
Mereka sebelummu
Bukan sekadar itu diuji


Teman,
Andai duka juga yang melewati
Pilu jua yang menjelma
Jangan kau bersedih hati
Kerana
Lebih dari itu pun boleh kau hadapi

Teman,
Andai yang terbuku di dada
Menyerabutkan akal dan minda
Jangan biarkan ia
Menggamit rasa sengsara
Doakanlah
Agar dirimu cekal dan tabah

Teman sejati
Bukan mudah dicari
Dan bukan senang diganti
Berkawan itu mesti
Bermusuh itu jangan sekali
Tergigit lidah itu biasa
Tersilap faham itu tetap ada
Jangan biarkan ia
Menjemput hampa
Dan masam muka

Bersama kita teman
Membina kekuatan
Menyusun perancangan
Buat mengisi tabung iman
Salam buat teman

Tuesday, February 12, 2008

Biar Dunia Tahu

Biar dunia tahu
Semua yang bernyawa
Bukan tersiksa oleh panggilanNya

Biar dunia tahu
Setiap saat yang berlalu
Bukan pergi sekadar begitu

Biar dunia juga tahu
Segala yang terfikir elok
Bukan semuanya adalah petunjuk

Namun sesekali
Kita merasakan perlu
Untuk dunia dan seisi
Tidak tahu
Tidak mempedulikan
Kita yang sarat dengan pemikiran
Berselindung di sebalik jawapan
Demi sesatu kebaikan
Demi sebuah kehidupan

Kerana
Andai mereka tahu
Kekuatan itu lemah
Kelemahan itu lelah
Pasti
Tiada jawapan yang dipinta
Tiada angin yang disapa
Andai ribut jua
Yang bakal melanda

Sunday, February 10, 2008

Semalam Yang Menjadi Kenangan

Di dalam hidup ini,
Peristiwa silih berganti
Ada sedih ada pedih
Ada hiba ada duka
Namun yang manis itu tetap ada

Sepanjang jalan ini
Segalanya ditempuhi
Biar parah biar berdarah
Biar luka biar melara
Namun yang bersimpati tetap kujumpa

Semalam yang kulalui
Bukan sekadar hari dari hari yang silih berganti
Ada kenangan yang melekat
Ada cerita yang memikat
Namun yang terlupa itu juga ada

Hari ini
Yang bakal ku lalui
Terasa sunyi
Andainya kenangan itu
Pergi berlalu
Meninggalkanku

Sunday, February 3, 2008

Perjalanan Ini Ada Destinasinya

Perjalanan ini
Bukan satu pengembaraan tanpa henti
Biar pun kekadang itu
Segalanya dimahukan indah
Pada pandangan hati yang gundah

Tanpa
Menilai seseorang itu
Akan hujung pangkal
Dosa pahala
Manusia mengikut selera
Menjadi hamba kepada hamba

Lantas
Bangkitkan buat umat ini
Satu suasana
Satu citarasa
Menuju cita
Dan cinta
Yang kekal selamanya

Kerana sudah pasti
Bila hati berbicara
Bila aqal bertanya
Di mana dan mengapa
Siapa dan untuk apa
Segalanya

Maka pasti
Jawapan yang bakal ditemui
Adalah apa yang bakal menanti
Bila hidup sesudah mati

Kerana hidup ini takkan berakhir
Kerana perjalanan ini
Bukan sekadar zahir

Lakukan sesuatu
Untuk umat ini
Menempuh liku
Sumpah janji
Dendam kesumat
Menyesatkan umat

Bentangkan buat umat ini
Jalan terang benderang
Disinari bulan dan bintang
Agar kalian dan mereka
Beroleh SYURGA