Sunday, March 30, 2008

Satu Perjuangan

Satu perjuangan
Tanpa henti dan nokhtah
Segalanya diredah
Bahaya tidak diendah
Arus ditongkah
Pantang kalah sebelum rebah

Satu perhitungan
Tanpa kenal penat
Tanpa mengira keringat
Biar terpaksa bertongkat
Tetap dan terus bersemangat

Satu atau dua
Bukanlah perkiraannya
Bukan pula matlamatnya
Kerana bukan sekadar hak yang dipinta
Namun obor perjuangan yang dibawa
Meminta kepada idealisma yang dibawa
Terus dibela dan dibela

Satu perjuangan itu
Pasti menemui akan ia
Jalan menuju taqwa
Jalan menuju syurga
Kiranya segalanya di atas landasan keredhaanNya

Tuesday, March 18, 2008

Memugar Jiwa Yang Tenang

Seketul daging itu
Lembutnya bukan dengan simpanan lemak
Kerasnya bukan dengan zat besi
Sihatnya bukan dengan simpanan vitamin
Bersihnya bukan dengan menyahtoksin racun

Lembut keras itu ada pada ingatan padaNya
Segar busuknya itu ada pada dosa dan pahala
Bersih sucinya itu ada pada sifat mahmudah
Susut naik nilainya ada pada budi pekerti

Perhalusi makanannya
Moga daging yang bernama hati itu
Bukan pencetus kemungkaran
Penyemarak kefasadan

Hati yang ternoda perlu dibaja
Dengan taubat dan doa
Moga sinarnya menerangi maya
Moga tempias kebaikannya
Menemukan kita dengan sebenar harta

Sunday, March 9, 2008

Pada Seraut Wajah

Sedetik Masa Berlalu
Sesaat Ia Pergi
Pasti Ia Menggamit Pilu
Mencipta Resah Dari Segala Segi

Kerana Gelombang Kemenangan Yang Mengfajari Siang
Kerana Tsunami Kebangkitan Yang Menerajui Kebenaran
Membawa Bersamanya Pengertian dan Sinar
Mengundang Bersamanya Kejujuran Dan Sabar
Akan Kebenaran Yang Sedang Dituntut

Namun Pada Seraut Wajah
Ada Rasa Gelisah
Ada Tanda Gundah
Melingkari Jiwa dan Raga
Menyelubungi Duka Dan Hampa
Pada Penafian Yang Dibina

Kembali Kita Menjalani Kehidupan
Dalam Penuh Kesamaran
Di Dalam Cahaya Yang Terang
Di Atas Kegemerlapan Yang Menjadi Harapan

Engkau Padaku
Bukan Ahli Pidato Biasa
Bukan Pula Sekadar Penglipura

Terpacak Hari Ini
Di Kesempatan Penuh Erti
Di Keheningan Malam Dan Pagi
Sinar Mentari Sudah Tiada Tempat Lagi
Untuk Mengungguli Sebuah Realiti
Untuk Menjiwai Sebuah Revolusi
Bahawa Segala Yang Dicari
Sudah Tiada Di Sini Dan Di Sisi

Tuesday, March 4, 2008

Antara Sutera Dan Bulan

Pada lembut sutera
Pada kepenuhan bulan purnama
Membawa kita pada satu hakikat
Akan segala maksud yang tersirat
Menjurus kita pada satu pengertian
Akan setiap liku dan ranjau kehidupan

Sekelumit cahaya
Yang mewujudkan wajah ceria
Yang menerbitkan suka dari duka
Pastinya
Bukan semudah yang disangka
Bukan seindah lagu yang dicipta

Kerana pada pena yang mencoret
Kerana pada ukiran yang dilorek
Di sana ada kegusaran
Di sana wujud pertentangan
Yang seakan tiada jalan penyelesaian

Lantas
Tercipta resah
Bangkit gelisah
Di saat segala jari jemari
Di kala segenap pelusuk hati
Tertumpu
Pada cita cita yang satu
Melihat kebangkitan
Mencungkil keinsafan
Dari kepercayaan yang dilanda taufan

Hari ini
Kita berdiri
Menghayati lembaran puisi
Agar bersemi keutuhan hati
Agar bercahaya sebuah cita cita
Memagari kehidupan
Menghampiri pertemuan
Dengan kita bersandar pada pengharapan
Penghujung kehidupan yang bakal dihadapkan
Padanya tercatat syurga yang abadi
Tempat yang hakiki sebagaimana diimpi