Tuesday, September 16, 2008

Keagungan Pencipta

Manusia Dahulunya
Datang Kosong Tangan Kosong Dada
Datangnya Sebersih Kain Yang Putih
Dibekali Pula Dengan Hati yan Jernih

Namun
Ibu Bapa Dan Keadaan
Mengubah Fitrah Dan Jalan
Mewarnai Dengan Apa Jua
Yang Dilihat Membawa Jaya

Sedang
Kejayaan Sebenar
Bukan Dengan Wang Dinar
Bukan Dengan Apa Yang Dapat Dibayar
Bila Hati Sudah Hilang Belas Dan Sinar
Hidup Umpama Sebuah Kapal Yang Berlayar
Tanpa Arah Tuju
Tanpa Ingin Dipandu

Keagungan Pencipta
Menemukan Semua Kita
Dengan Ramadhan Yang Mulia
Dengan Tawaran Yang Luar Biasa

Ghairahkah Kita
Dengan Segala Tawarannya
Dengan Semua Yang Ada
Bila Sebuah Janji Yang Pernah Dipadu
Diselubungi Dengan Janji Dunia Yang Menipu

Lantas
Menjelmalah Alpa
Membayangi Sebenar Bahagia
Sehinggalah Keagungan Pencipta
Kembali Membawa Berus Pencuci Dosa
Dengan Segala Peringatan Membekali Kita
Itulah Sifat Itulah Hakikat
Kehidupan Kebanyakan Manusia Yang Mudah Pelupa

Friday, September 5, 2008

Ramadhan Mengembalikan Kemanusiaan

Ramadhan Yang Sedang Dilalui
Penuh Pahala Untuk Diganjari
Penuh Rezeki Untuk Didapati
Oleh Yang Menerima dan Pemberi

Yang Menerima Itu Adalah Kita Semua
Kerana Rezeki Itu Datang Dari Yang Esa
Bukan Sekadar Tulang Empat Kerat Yang Diguna
Mahupun Apa Jua Yang Menjadi Perantaraannya

Bersyukur Menjadi Penerima
Menuntut Kita Bersama Sama
Menginfaqkan Apa Yang Ada
Kerana Telah Terlalu Nyata
Memberi Makan Orang Berbuka
Hatta Dengan Separuh Kurma
Adalah Sama DisisiNya
Pahala Mereka Yang Berpuasa

Ayuh Para Sahabatku
Tidak Perlu Tertunggu Tunggu
Tidak Perlu Berkerut Seribu
Pabila Datang Peluang Itu
Tunaikan Tanggungjawabmu
Zahirkan Kemanusiaanmu
Menembusi Setiap Kalbu
Dalam Menghayati Saat Akhir Kehidupanmu

Monday, September 1, 2008

Iklim Kehidupan

Suasana dan rasa
Berubah dari tika ke ketika
Bila hidup semakin merdeka
Bila yang suram menjadi ceria

Negara menyambut merdeka
Dalam kekalutan penuh makna
Yang dicipta dan tercipta
Angkara manusia mengejar takhta
Juga harta dan barangkali wanita

Haus dan dahaga
Pasti takkan semudah bicara
Untuk hilang mengubat duka
Tatkala segala strategi tidak mengena
Tatkala si angkuh berasa terhina
Sedangkan PM itu aku yang punya
Bukan milik rakyat Malaysia
Yang masih dirasakan setia

Padahal
Segala gelagat dan hal
Laksana orang berfikiran sejengkal
Ingin menguburkan kareer orang tak pasal pasal
Sedang diri
Belum tentu masih di sini
Laksana Tun yang dah plan cabut lari
Andai berubah Dato Seri Perdana Menteri
Kepada musuh yang dicaci dan dimaki
Hanya kerna kasih kepada seorang bini
Berubah anak didik menjadi orang yang dibenci

Ah
Dunia politik memang begini
Putaran rodanya tidak berhenti
Andainya belum tiba yang dicari
Sehinggalah rakyat bangkit berdiri
Menyatakan yang hak walau digari
Oleh media yang menjadi pengganti
Kepada pihak yang sejak dulu lagi
Tidak pernah fikir pasal integriti
Apalah lagi perkara mati

Tunggulah
Bila mereka boleh belah
Tatkala wakil rakyat mereka yang penuh helah
Mengenal kembali erti jati diri dan maruah
Lalu rakyat menyaksikan mereka yang rebah
Lebih parah dari barah

Mereka pasti
Mengharapkan pusara nanti
Bukan tempat orang memaki
Bukan tempat orang melepaskan benci

Ramadhan Yang Bertamu

Adat orang melayu
Bila ada yang bertamu
Pasti ada jua sesuatu
Yang istimewa untuk dijamu
Apatah lagi yang datang itu
Tetamu bukan sebarang tetamu

Ramadhan datang menjelma
Menyapa tuan rumah yang pelbagai rupa
Ada yang bersedia, ada pula bersahaja
Baginya sama sahaja
Antara ada dengan tiada

Sedang Ramadhan
Bukanlah utusan mahupun pedagang
Malah satu bentuk dari bentuk kurniaan
Yang tak ternilai di sisi Tuhan
Akan harganya, akan nilainya

Datang ia
Terhalau syaitan durjana
Tertutup pintu pintu neraka
Terbuka pintu pintu syurga
Maka
Layanlah ia seadanya

Jauhilah yang terlarang
Hindari yang ditentang
Bila yang halal pun dikekang
Bila segalanya diniat pada Tuhan
Nescaya
Aman Merdeka kita semua
Dari menjadi hamba kepada hamba

Sayugia
Akan bertemu kita denga Pencipta
Dengan sebaik kurnia
Dengan sebaik harta
Menjadi milik kita
Salam Ramadhan buat semua