Monday, October 6, 2008

Fitrah

Berubah kepada kehidupan baru
Dr Muhammad Al-Ghazali
Judul Asal: Jaddid Hayatak
Cresent News (KL) Sdn Bhd, 2004, 323 m/s
ISBN: 983-061-277-5
MUKADDIMAH

Kami ingin mengajak anda untuk sama-sama menyelami sifat utama dalam Islam yang membuktikan bahawa ianya adalah agama fitrah.

Ajaran-ajaran Islam yang meliputi segala aspek kehidupan itu sangat selaras dengan naluri yang lurus dan fikiran yang benar. Pengarahan-pengarahannya yang tersebar pada doktrin-doktrin asasnya adalah saluran yang amat tepat bagi orang-orang yang mencari ketenagan jiwa.

Kami telah lama tertarik dengan beberapa persamaan antara ajaran-ajaran Islam yang murni dan hasil-hasil pemikiran para filosofi, baik di bidang kejiwaan, sosial mahupun politik. Ini menunjukkan adanya penyatuan antara ‘wahyu tajribah’ (hasil eksperimen) dan ‘wahyu samawi‘ (ajaran dari langit).

Sebagaimana samanya jawapan dua orang terhadap satu soalan yang sama, maka demikian pula persamaan antara logik sifat manusia yang baik yang sentiasa cenderung kepada perbuatan baik dengan logik ayat-ayat samawi yang memandu manusia ke jalan yang lurus.

‘Fitrah’ bermaksud pengertian yang baik. Oleh itu, setiap aib yang mengikuti [lahir daripada] pembawaan (tabiat), tidak boleh dianggap berasal daripadanya [fitrah] dan tidak boleh pula menyalahkannya.

Ambil contoh tentang janin, sepatutnya janin keluar dari rahim ibunya dalam keadaan sempurna anggota dan pancainderanya. Namun, apabila bayi itu lahir dalam keadaan buta akibat penyakit salah seorang daripada orang tuanya, maka kebutaan ini adalah sesuatu yang menyalahi fitrah.

Setiap gangguan yang menghalangi kebesaran dan keindahan fitrah, maka ia menyalahi aturan, yang sepatutnya dihancurkan dan dibinasakan, bukan sekadar diketahui kemudian dibiarkan begitu sahaja.

Telah banyak berlaku di dunia ini orang-orang yang menelanjangkan tubuh dan jiwa dari pakaian taqwa dan sifat-sifat utama dengan laungan bahawa mereka kembali kepada fitrah.

Namun sebenarnya, mereka adalah ibarat hama-hama yang merosakkan tanaman dan mendatangkan penyakit. Dengan kata lain, mereka itu sebenarnya sangat berbahaya bagi watak yang baik dan fitrah yang sihat.

Dengan fitrahnya, manusia mengetahui hakikat halal dan haram, kerana yang halal dan yang haram itu sudah jelas. Tetapi pengetahuan ini tidak berguna apabila kita tidak menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, serta tidak tetap pada batas-batas yang membezakan antara keutamaan dan kehinaan, juga antara keadilan dan permusuhan.

Sesungguhnya sebahagian besar manusia masih jauh daripada Islam, kerana tidak mengerti ajaran-ajarannya serta tidak pula berusaha untuk mencari jalan dan mengharap petunjuk daripada-Nya.

Islam adalah agama fitrah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ajaran-ajarannya jelas dan keindahannya nyata.

Dengan agama yang suci ini, beliau telah memberi sokongan kepada Musa a.s., yang telah dikafirkan oleh orang-orang Yahudi, juga menyokong Isa a.s., yang mana ajaran-ajarannya telah diselewengkan oleh orang-orang Nasrani, dan telah mendokong orang-orang yang berjuang menghapuskan tahyul-tahyul dan sangkaan-sangkaan yang keliru, dan menetapkan jalan menuju kepada Allah di bawah naungan cahaya iman dan amal soleh.

Dalam buku ini, dikemukakan perbandingan antara ajaran-ajaran Islam, dengan kebudayaan Barat mengenai adab jiwa dan tingkah laku. Pembaca akan lihat persamaan antara keduanya yang akan menimbulkan kekaguman.

Kami telah membaca buku HOW TO STOP WORRYING AND START LIVING karya DALE CARNEGIE, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh al Ustaz Abdul Mun’im al Ziyaady. Maka timbul keinginan kami, setelah selesai membacanya, untuk mengembalikan isi buku tersebut kepada dasarnya, iaitu Islam. Bukannya kerana penulisnya telah menukilkan sesuatu mengenai agama kita, tetapi kerana ulasan-ulasan yang telah dikukuhkannya setelah menelaah dengan baik ucapan-ucapan para filosofi dan pendidik. Juga keadaan-keadaan yang khusus dan umum pada segala segi, tidak jauh berbeza dengan ayat-ayat yang tsabit dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih dar Nabi s.a.w.

Sebenarnya penulis buku tersebut tidak mengenali Islam sama sekali. Sebab kalau ia tahu, pasti dia akan menukil dalil-dalil terus daripada Islam sebagai bukti terhadap realiti-realiti yang ditetapkannya, lebih banyak daripada apa yang telah dinukilkannya daripada rujukan-rujukan yang lain.

Demikianlah, hasil eksperimen telah dapat diselaraskan dengan wahyu dari langit. Dan pembaca akan melihat, sampai di mana kebenaran daripada apa yang kami katakan di atas.

Dalam menyusun kitab ini, kami mengemukakan Islam dengan menyatukan dua sumber yang berbeza; pertama nas-nas Islam itu sendiri, dan kedua petikan dari buku Dale Carnegie tersebut.

Bukanlah maksud kami hendak membandingkan agama Allah dengan usaha manusia, tetapi usaha terpuji itu dimaksudkan untuk menjadi contoh atas kaedah-kaedah yang telah dibentangkan Islam sebelumnya.

Allah berfirman, mafhumnya;

Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu? (Fusshilat: 53)

Akhirnya, kami hanya mampu memanjatkan doa;

“Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang saleh, dan jadikanlah aku buah tutur yang baik bagi orang-orang (yang datang) kemudian, dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang mempusakai surga yang penuh kenikmatan’ (As-Syu’araa’: 83-85)

- Muhammad Al-Ghazali

No comments: